Lata Bayu



Baling sebagai daerah yang kaya dengan hutan lipur menyegarkan, bukanlah asing bagi para pengunjungnya untuk bersantai dan berehat.

Antara kawasan rekreasi popular untuk beriadah bersama ahli keluarga adalah Hutan Lipur Lata Bayu, Asam Jawa yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Pekan Baling.

Ia menjadi pilihan ramai kerana persekitarannya nyaman selain dipenuhi pepohon hijau manakala air sungainya pula bersih, sejuk dan menyegarkan untuk mandi manda selain air terjun mendatar yang pasti menggamit perhatian pengunjung untuk merehatkan minda.

Di sebalik hutan tebal di pesisiran yang kaya dengan alam hutan menarik dan mendamaikan, Hutan Lipur Lata Bayu bagaimanapun pada dua tahun lalu pernah menjadi suram ekoran diisytiharkan sebagai kawasan dipercayai dijangkiti virus kencing tikus.

Ekoran masalah itu, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan agar kawasan itu ditutup selama enam bulan untuk tujuan pembersihan dan jangkitan itu telah menimbulkan ketakutan kepada kebanyakan penduduk dan para pengunjung untuk beriadah.

Bagaimanapun, selepas pembersihan dijalankan kawasan itu kini disahkan oleh kementerian sebagai bebas daripada virus tersebut.

Walaupun keadaan telah pulih seperti sedia kala, masih terdapat anggota masyarakat yang takut dan ragu-ragu untuk berkunjung ke kawasan rekreasi itu dan ia berlarutan sehingga hampir setahun dari tarikh ia ditutup.

Dalam tempoh itu, kawasan peranginan yang pernah mencatatkan kunjungan lebih 2,000 pengunjung sehari pada musim cuti, terus menjadi sepi hingga memberi kesan kepada peniaga-peniaga di kawasan sekitarnya.

Bagaimanapun, kini Lata Bayu telah berubah wajah setelah masyarakat semakin melupakan kejadian dua tahun lalu selain yakin kebersihan di kawasan tempat peranginan ini.

Inisiatif Jabatan Perhutanan yang menyediakan kemudahan letak kereta, bilik persalinan, gerai makanan dan pondok yang lebih selesa menjadikan Lata Bayu kembali meriah seperti dahulu.

Kedudukan Lata Bayu juga adalah strategik dan mudah untuk dikunjungi kerana ia terletak di tengah-tengah laluan perjalanan merentasi daerah ini dari pelbagai arah.

Contohnya, pelancong yang datang dari Sungai Petani boleh menggunakan jalan Kuala Ketil menuju ke Jalan Teloi Kanan dan terus Ke Parit Panjang dan Asam Jawa sehinggalah sampai ke destinasi Hutan Lipur Lata Bayu dengan mengambil masa selama 30 minit dari Kuala Ketil.

Pengunjung yang menggunakan Jalan Kuala Ketil Kupang pula boleh singgah di Batu 42 pusat beli belah Billion untuk membeli barangan keperluan sebelum ke simpang kiri ke Asam Jawa dan terus ke Hutan Lipur Lata Bayu dengan mengambil masa selama 45 minit.

Selain itu, mereka yang datang dari Gerik dan Pengkalan Hulu, Perak pula boleh melalui Pekan Baling menuju ke Batu 42, Pulai ke Jalan Sungai Limau terus Ke Asam Jawa dan menuju Hutan Lipur Lata Bayu dengan mengambil masa perjalanan selama 15 minit dari Pekan Baling.

Orang ramai dari Kulim pula boleh menggunakan lebuh raya menuju ke Pekan Kupang dan masuk persimpangan kiri sebelum ke Kompleks Rakan Muda melalui Jalan Sungai Limau terus ke Lata Bayu Asam Jawa dengan perjalanan dari Pekan Kupang mengambil masa selama 20 minit.

Sumber : Utusan Online.


0 comments: