Bergendang

Bergendang ialah khazanah budaya dan kesenian yang dipusakai masyarakat Melayu Sarawak daripada nenek moyang mereka sejak zaman-berzaman. Aktiviti unik ini mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai aktiviti bersuka ria yang diadakan dalam keadaan terbuka dan terang-benderang.

Tidak dinafikan tujuan utama majlis ini dilangsungkan adalah untuk bersuka ria. Sambil bersuka ria, secara tidak langsung majlis ini juga menjadi temasya muda-mudi mencari pasangan. Pada temasya ini, mereka dapat mengenali dengan jarak dekat gadis dan jejaka idaman mereka-apatah lagi pada zaman dahulu, anak-anak gadis jarang keluar rumah. Secara tradisi, apabila berkenan, pihak lelaki akan menyusul pula dengan majlis merisik dan meminang.

Bergendang lazimnya diadakan pada masa-masa tertentu. Bergendang selepas kenduri Majlis bergendang selalunya diadakan pada waktu malam setiap kali selepas kenduri doa selamat, bercukur rambut, pindah ke rumah baru, berkhatan, lawatan menantu baru, mendapat laba atau anak baru dan menerima tetamu baru. Apabila majlis doa selamat atau berzikir diadakan pada siangnya, lazimnya yang terlibat ialah orang tua-tua. Hanya segelintir muda-mudi yang terlibat. Untuk bersikap adil, majlis bergendang diadakan pada sebelah malamnya, khusus bagi muda-mudi. Ia juga diadakan untuk melepaskan rasa letih dan tegang setelah bertungkus-Iumus mengendalikan majlis kenduri pada siangnya.

Bergendang selepas kanak-kanak berkhatan Pada zaman dahulu, majlis berkhatan diadakan secara besar-besaran seperti majlis perkahwinan. Pelamin dibina dan pukulan hadrah berkumandang. Kanak-kanak yang akan berkhatan dihias seperti pengantin dan diarak keliling kampung. Kanak-kanak tadi “disandingkan” di atas pelamin dan ditepung tawar. Majlis berzikir atau doa selamat diadakan.






0 comments: